Friday, August 13, 2010

TAZKIYATUL NAFS : CERITA-CERITA TELADAN

Hayati dan renungi kisah2 teladan ini, semoga ia memberi iktibar kepada kita sempena Ramadan AlMubarak ini.

Hikmah Kerana Berbakti Kepada Ibubapa

Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang. Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.
Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan, "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.
"Sipakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.
"Aku adalah manusia", jawab pemuda itu perlahan.
"Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan supaya anaknya diberi rezeki dan perasaan puas hati. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.
"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di tepi pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya." Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.
"Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.
"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah."
"Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?"
"Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan.
"Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam." Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Berkat Membaca Bismillah

Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Anak Yang Soleh

Pada masa dahulu ada seorang pemuda yang bernama Ra'i. Kerjanya setiap hari adalah mengembala kambing. Setiap hari apabila dia pulang ke rumah ia akan memerah susu kambing untuk dihidangkan kepada orang tuanya dan sesudah orang tuanya minum, barulah susu kambing yang selebihnya diberikan kepada anak-anak dan isterinya.

Pada suatu hari Ra'i membawa kambingnya jauh daripada tempat biasa.Dia terlambat pulang kerana asyik dengan kambing-kambingnya dan apabila disedarinya hari sudah mulai gelap. Dia dengan segera membawa pulang kambing-kambingnya. Apabila tiba di rumahnya hari sudah larut malam kerana perjalanan yang jauh. Tanpa membuang masa, dia segera mencari kedua orang tua yang di kasihinya dan alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kedua-dua orang tuanya sudah nyenyak tidur. Ra'i segera ke kandang kambing dan terus memerah susu. Di dalam hati dia berkata "Mungkin setelah selesai aku memerah susu, ibu dan ayahku akan bangun dari tidurnya". Apabila susu sudah sedia dihidangkan, ia segera pergi mendapat kedua orang tuanya, tetapi ternyata kedua orang tuanya masih lagi tidur.

Setelah ditunggu-tunggunya ternyata orang tuanya tidak juga bangun. Ra'i mula bimbang dan berfikir di dalam hatinya "Adakah aku harus mengejutkan mereka?" fikirnya lagi "Oh tidak, tidak sopan mengejutkan orang yang sedang tidur". Ia sungguh menyesal kerana terlalu leka dengan kambingnya menyebabkan orang tuanya tidur tanpa sempat minum susu seperti sebelumnya. Tiba-tiba, anak- anaknya terjaga dari tidur dan mereka menangis meminta susu kerana lapar disebabkan mereka tidur sebelum sempat meminum susu. Ra'i tetap mempertahankan bahawa susu tersebut tidak boleh diberikan kepada anak-anaknya sebelum orang tuanya minum terlebih dahulu. Setelah puas memujuk, anak-anaknya tetap tidak mahu berhenti daripada menangis. Diberinya air, tetapi anak-anaknya terus menangis dan tetap mahu minum susu yang telah disediakan untuk orang tuanya..

Walaupun keadaan bising disebabkan tangisan anak-anaknya, kedua-dua orang tuanya tidak juga bangun dari tidur mereka. Ra'i berfikir mungkin Allah hendak menguji kesabarannya dan sejauh mana ketaatannya kepada orang tuanya. Apabila fajar menyinsing barulah ibu bapanya sedar dari tidur mereka dan Ra'i segera menyerahkan susu yang diperahnya pada malam tadi.

Begitulah sifat seorang anak yang soleh dan taat kepada orang tuanya walaupun anaknya sendiri menangis kelaparan ia tetap mempertahankan dan ibu bapa mesti di utamakan.

Sumber daripada:http://www.jomlayan.com

No comments: