Sunday, July 18, 2010

TAZKIYATUL NAFS : KEPIMPINAN CEMERLANG : SEGALANYA BERMULA DI SINI

Kepimpinan akan membawa segala usaha untuk penambahbaikan organisasi. Tanpa kepimpinan, matlamat dan nilai tidak dapat dijelaskan, perancangan tidak dapat dibentuk atau dilaksanakan dan individu dalam organisasi itu tidak dapat menyumbang sepenuhnya kearah kecemerlangan. Perbincangan pokok di sini ialah apakah tanggungjawab yang diterima itu akan dilaksanakan secara ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran sematamata. Ikhlas merupakan suatu sifat peribadi yang sangat-sangat dituntut terutama dalam Islam. Etika kerja disediakan sebagai asas perkhidmatan yang amat penting ketika melaksanakan tugas yang diamanahkan. Ia berkaitan dengan mutu dan dasar-dasar moral yang seharusnya menjadi pegangan kepada penjawat awam. Sehubungan dengan itu, nilai “ikhlas” ini adalah satu daripada beberapa nilai utama di bawah penerapan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan. Asas karakter kepimpinan cemerlang ialah terhasil dari pembinaan ciri-ciri dalaman manusia khususnya hati dan sanubari mereka (Osman Ayob 1989). Oleh yang demikian, penerapan nilai-nilai humanisme di dalam diri perlu bagi membentuk diri sebagai pemimpin dengan authoriti moral yang jelas dalam memimpin institusi itu.

Keikhlasan Dalam Menerima Tanggungjawab
Sebagai pemimpin institusi pendidikan, melaksanakan tugas kepimpinan adalah tunjang utama untuk merealisasikan visi dan misi sekolah. Tindakan pemimpin seharusnya tertumpu ke arah sumber-sumber yang bermanfaat. Ini tentunya melibatkan pergerakan dan inisiatif. Pemimpin perlu bertindak dengan adil dan telus apabila berhadapan dengan masalah, melaksanakan pemilihan dan membuat keputusan. Di sinilah pemimpin seharusnya menyedari bahawa tanggungjawab yang diterima itu seharusnya dipikul dengan penuh keikhlasan demi kejayaan institusi itu. Nilai ikhlas ini adalah nilai utama yang perlu diterapkan ke dalam diri pemimpin. Tugas yang kita jalankan adalah amanah Tuhan yang amat besar dan perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Akauntabiliti kita selaku pemimpin adalah kepada Tuhan dan keikhlasan melaksanakan tanggungjawab ini melebihi daripada ganjaran atau gaji yang diterima. Keikhlasan perlu bagi mendapatkan ganjaran sebenar daripada Allah SWT. Mafhum Surah Al Baqarah Ayat 286 – “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya”. Ayat ini menegaskan bahawa tidak ada sebab bagi seseorang penjawat awam itu mengeluh dan mengatakan bahawa tugasnya terlalu berat dan sukar. Dalam lain perkataan, keikhlasan menerima dan melaksanakan tugas kita sebagai pemimpin amat perlu demi menjayakan matlamat institusi. “ Seorang yang jujur dan taat; benar dalam apa yang dilakukan, dikatakan dan diajarkan. Dia amat bermakna. Seorang yang hanya bercakap apabila perlu, berdiam diri apabila tiada apa-apa yang perlu diperkatakan; tetapi tetapi tepat, bijak, jujur apabila dia perlu bercakap; sentiasa memberi pandangan bernas terhadap sesuatu perkara. Hanya inilah kata-kata wajar untuk diucapkan” Thomas Carlyle.

Kesungguhan Membina Kecemerlangan
Selain dari itu, nilai keikhlasan ini amat berharga bagi melahirkan ketekunan untuk membawa kejayaan. Seterusnya akan melahirkan kepercayaan dan keyakinan staf bawahan yang bersedia untuk membina “teamwork” yang padu dan kuat. Kesediaan menerima cabaran akan melahirkan rasa tanggungjawab untuk membina kekuatan bersama mendokong aspirasi institusi. Seorang pemimpin yang ikhlas tidak akan bekerja sambil lewa sahaja. Amanah dan tanggung jawab seharian tidak akan dianggap sebagai satu bebanan atau sebagai rutin sahaja. Kerja yang perlu dilaksanakan akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Prestasi pemimpin ini sentiasa tinggi serta disokong oleh staf bawahannya. Jika pemimpin ini menemui kesulitan semasa melaksanakan tugasnya, ia akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian bersama-sama anggota lain dalam institusi itu bkn menyalahkan dan meletakkan kesalahan tersebut kepada orang bawahannya. Pemimpin yang ikhlas akan sentiasa berinitiatif dan selalu melakukan usaha atau sesuatu sebelum diarah melakukannya. Pemimpin ini akan merancang dengan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Pemimpin ini akan menurunkan agihan kerja kepada setiap anggota bawahannya secara adil dan berdasarkan kebolehan mereka.

Pembinaan Teamwork Yang Padu.
Pemimpin yang ikhlas akan melahirkan suasana keseronokan bekerja di kalangan staf bawahan sebagai satu kriteria penting institusinya. Pemimpin ini akan menerima tugasannya sebagai ibadah, sentiasa inovatif, suka menyumbang dan “resourceful”. Situasi ini akan melahirkan satu pasukan kerja yang sama-sama dapat menerima tugas yang diamanahkan dan seterusnya keseronokan bekerja dalam institusi ini akan membawa kepada kejayaan institusi itu. Pemimpin seumpama ini akan menjalankan tugasnya dengan penuh kesedaran bahawa sokongan setiap staf bawahan adalah penting. Pemimpin perlu terlebih dahulu “ikhlas” untuk mewujudkan institusi yang harmoni. Pemimpin ini akan terus memimpin dan staf sokongan akan terus menyokong perjalanan institusi itu.
Ketekunan kepimpinan secara ikhlas ini akan meningkatkan kecekapan diri sendiri dan semua staf sokongan. Ketekunan akan menghasilkan sesuatu output institusi dengan cemerlang walaupun amanah atau tanggungjawab yang perlu diselesaikan itu berat. Keikhlasan seorang pemimpin itu boleh dinilai melalui kecekapannya memimpin. Pemimpin-pemimpin yang ikhlas akan sentiasa menganggap kerja sebagai ibadat, mempunyai inisiatif diri, selalu menghasilkan sesuatu yang berfaedah, mempunyai komitmen bekerja dan kesediaan memberi kerjasama.

Menjadi Pengaruh Teladan Yang Cemerlang
Sebagai pemimpin yang ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab, ia akan menjadi pengaruh teladan kepada semua staf bawahan. Amalan bertertib dan beradab, kuat bekerja, berpandangan jauh, sentiasa menimba dan memanfaatkan ilmu serta selalu mengutamakan orang lain akan melahirkan kepercayaan yang tinggi daripada staf lain. Sikap akan menjadi pengaruh teladan yang baik dan menjadi motivasi kecemerlangan untuk orang lain. Staf bawahan akan melihat keikhlasan pemimpin ini sebagai pendorong untuk kejayaan diri mereka dan institusi itu sendiri. Pemimpin ini akan sentiasa menepati masa, menyegerakan tugas, mempunyai perancangan waktu yang sempurna, bijak menggunakan masa serta selalu menyelesaikan tugas berdasarkan tempoh masa yang ditentukan. Ketekunan pemimpin seumpama ini boleh dilihat apabila gigih ketika melaksanakan tugas, sentiasa rajin dan berusaha, sabar ketika menghadapi cabaran, berdisiplin dan berpandangan jauh. Pemimpin yang ikhlas juga selalunya berdedikasi, bersemangat, kesanggupan berkorban, tidak mudah putus asa serta sentiasa bercita-cita tinggi. Keikhlasan pemimpin juga dilahirkan melalui kekuatan-kekuatan peribadi pemimpin itu seperti bersopan santun, sentiasa memaafkan orang lain, berupaya bersimpati dengan kesusahan dan masalah orang lain, sentiasa bertimbang rasa dan bersikap pemurah. Pemimpin seperti ini juga selalunya mudah mesra dan didekati, sentiasa merendah diri dan berbudi mulia.
Pemimpin yang ikhlas akan sentiasa mempamerkan kemuliaan dan kesederhanaan peribadi yang akan dicontohi oleh staf bawahan. Pemimpin ini selalunya mempunyai komunikasi yang jelas, tidak terlalu tamakkan kedudukan, sentiasa mengamalkan berjimat cermat. Keikhlasan kepimpinan juga selalu dicerminkan melalui bersikap adil dan menepati janji. Di samping itu, pemimpin seumpama ini biasanya boleh mendengar pandangan dan pendapat orang lain serta cermat dalam tutur kata. Pemimpin seumpama ini akan melahirkan staf yang merasa senang dan selesa, tidak merasa takut atau gentar dan sentiasa berusaha bersama-sama demi kecemerlangan institusi itu.

Pengamalan Nilai dan Etika Yang Terpuji.
Nilai ikhlas dalam diri pemimpin akan menggalakkan amalan nilai dan etika yang baik berterusan dalam institusi itu sendiri. Kesediaan untuk membuat perubahan, berani mencuba dan memanfaatkan cadangan yang baik akan lahir secara sendiri apabila keikhlasan ini wujud di dalam diri pemimpin. Situasi ini akan kemudiannya mencetuskan keunikan, kreativiti serta menggalakkan percambahan idea yang disertai oleh staf bawahan. Keikhlasan ini akan membina persekitaran kerja yang kondusif dan seterusnya melahirkan perkhidmatan yang cemerlang. Semangat bergotong-royong dan berpadu fikiran melahirkan suasana kerja yang ceria dan gembira serta akan meningkatkan mutu perkhidmatan setiap anggota bawahan institusi berkenaan. Suasana dan persekitaran seumpama ini akan terus menyumbang kepada kesedaran untuk terus berkhidmat secara ikhlas bukan sahaja di kalangan pemimpin tetapi setiap anggota bawahan institusi berkenaan. Kesedaran akan bertanggungjawab terhadap tugas akan menjadi keutamaan. Pemimpin ini akan terus menjadi kekuatan staf sokongan untuk terus tekun dan sabar, mempunyai inisiatif diri serta boleh diharap. Di samping itu juga, setiap anggota bawahan akan sentiasa mementingkan kualiti kerja, cergas serta pantas dan pada masa yang sama cermat dan berdisiplin. Pemimpin yang ikhlas akan sentiasa mempelajari sesuatu daripada kesilapan serta sentiasa bersikap professional dan cekap melaksanakan tugas.
“Kepimpinan adalah pengorbanan – ia mengenepikan kemahuan diri sendiri – ia adalah kecintaan, ia adalah ketiadaan ketakutan, dan kemanusiaan, dan ia adalah dalam kemahuan yang ingin memiliki kesempurnaan disiplin. Ini juga merupakan kelainan di antara orang-orang yang berjiwa besar dan kerdil. Lebih kuat anda bekerja, lebih kuat juga anda tidak akan menyerah. Peranan pemimpin ialah untuk meningkatkan, mengubah, membimbing, menjaga, mempercayai, dan mewujudkan keceriaan. Aktiviti-aktiviti pemimpin bertujuan untuk mendidik, menyumbang, membimbing, mengajar dan menasihat pada masa, dengan nada, kesudahan dan kemahiran yang betul”
Tom Peters dan Nancy Austin (Passion of Excellence)
Sumber daripada :www.iab.edu.my/sn16/ZainalAbidin.pdf

Saturday, July 17, 2010

HARI KOKURIKULUM SMK MENGKUANG 2010












Pada 17hb Julai 2010, Unit Kokurikulum telah mengadakan Hari Kokurikulum. Pelabagai aktiviti telah diadakan antaranya pertandingan kawat, pertandingan memasak, pertandingan gubahan, peonering, halangan hidup dan pertandingan memasang khemah (pelajar kelas Pendidikan Khas). Selain itu terdapat juga gerai2 jualan, demontrasi silat dan taekwando serta pameran anti denggi. Unit Kokurikulum mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi2 penghargaan kepada En. Mohd. Zaidi kerana sudi merasmikan majlis, juga ribuan terima kasih kepada semua guru dan pelajar kerana memberi komitmen dan kerjasama yang begitu baik untuk menjayakan Hari Kokurikulum dan juga semua aktiviti2 kokurikulum sepanjang tahun 2010.

Sunday, July 11, 2010

TAZKIYATUL NAFS :CIRI-CIRI GURU MURSYID

Artikel di bawah ini hanyalah sekadar panduan tambahan untuk kita sama-sama mencari guru rohani yang sejati... Apa yg baik adalah dariNya dan yg silap dari hamba insan yg hina...

Man assasa bunyanahu ‘ala shfa jurufin harin fanhara bihi fi nari jahannam (As-Tawba:109). Allah berfirman bahawa sekiranya seseorang membangun rumah di tepi lereng tanpa tapak yang kukuh, maka rumah itu pasti akan roboh. Tetapi bila seseorang membangun rumah dengan tapak yang kukuh di atas tanah yang keras, maka rumah itu akan menjadi kuat dan baik. Ini bermakna bahawa untuk segala bangunan, kita memerlukan seorang yang ahli. Sekiranya kita memerlukan pakar untuk membangun dan membina rumah, bagaimana pula dengan membangun dan membina hati kita? Kita harus mencari seorang Guru Sejati, seorang guru yang ahli untuk menolong kita untuk membina hati kita menjadi suci dan baik.
Bagaimana caranya kita mengenali mursyid yang sahih? Mursid yang sejati? Pernah pada suatu masa dahulu, Syaikh Abdullah Daghestani (qs) berkata bahawa untuk mengetahui mursyid yang sejati, perkara yang pertama ialah dia harus sempurnakan pakaian atau penampilan luarnya. Sekiranya rupa dan pakaian luar (sunah Nabi saw dan sya’riah) tidak cukup dan sempurna, maka artinya masih terdapat kecacatan pada hatiya. Jangan ikut dia. Mursyid mestilah sempurnakan rupa luarannya dan syariatnya.

Syaikh Abdullah (qs) juga berkata bahawa sekiranya kita memiliki jam tangan, dan jam tersebut mesinnya berfungsi dengan baik tetapi tidak ada jarum, maka ia tidak dapat menunjukkan waktu kepada kita – ertinya jam itu tidak berguna. Dan sekiranya jam itu ada dua jarumnya tetapi alat-alat mesin di dalam jam itu tidak berfungsi dengan 100%, maka jam itupun tidak akan dapat menunjukkan waktu yang benar. Jadi luar dan dalam mestilah sempurna. Demikian pula dengan seorang Mursyid sejati, 100% harus benar luar dalamnya untuk menjadi seorang mursyid yang hakiki.

Apabila kita hendak mencari seorang mursyid, pastikan bahwa dia tanpa sedikitpun nuqsaniyya (tanpa kecacatan). Sekiranya ada sesuatu yang kurang, jangan ikuti dia. Ini berarti sekiranya dia meninggalkan sesuatu daripada aspek luaran (syariat), sudah tentu aspek dalaman pun banyak yang akan dia lalaikan. Kerana apa yang ada di dalam, orang tidak dapat melihatnya. Kita berpakaian indah kerana kita tahu orang akan lihat. Seandainya tidak ada seorangpun yang melihat kita, maka kita tidak akan begitu menghiraukan penampilan kita. Bagaimana pula dengan perkara-perkara yang orang tidak dapat lihat di dalam jiwa kita? Sudah pasti banyak perkara yang kita akan lalaikan kerana kita tahu mereka tidak dapat melihatnya. Begitu pula halnya dengan seorang mursyid – dia mesti sempurna dari segi luaran dan dalaman. Jika tidak, dia hanya boleh membimbing kita sepotong jalan sahaja dan bukannya 100% jalan ruhani yang hendak kita tempuh bersamanya.

Menurut Mawlana Syaikh Abdullah Faiz (qs) langkah pertama untuk mengenali seorang mursyid itu sah atau tidak ialah melalui pakaian luaran dia ( mengikuti seluruh sunah Nabi Muhammad saw). Sekiranya dia sempurna dengan segala-galanya, maka dia telah memenuhi satu tuntutan. Kedua, ialah dalamannya. Bagaimana kita dapat melihat apa yang ada didalam hatinya? Pastikan bahwa dia menghormati semua orang, tanpa diskriminasi – tanpa melihat agama apa yang orang itu menganutnya. Kerana semua orang adalah hamba Allah, Allah Yang Satu. Meskipun mereka itu Muslim, Christian, Yahudi, Hindu, Buddhist dan sebagainya - itu semua bukan urusan dia, kerana mereka semua adalah hamba-hamba Allah. Mursyid yang hakiki mestilah menghormati mereka semua kerana mereka adalah ciptaan Allah, dimana terdapat cahaya Ilahi di dalam diri mereka.

Selain rasa hormat, diapun harus mengasihi mereka. Dia harus mau memberi kepada mereka apa yang dia berikan kepada diri sendiri dan murid-muridnya, walaupun mereka bukan pengikutnya. Dia perlu menunujukkan hormat dan kasih sayang kepada semua. Ketiga, dia mesti merendahkan diri – bahawa dia adalah lebih rendah daripada yang lain. Dia tidak boleh bermegahan dan merasakan bahawa dia adalah yang paling tinggi dari segi derajatnya, karena hanya Allah Yang Maha Tinggi. Sekiranya dia merasakan dirinya lebih tinggi dan lebih mulia daripada yang lain, maka dia adalah seperti syaitan yang menganggap dirinya lebih tinggi daripada Nabi Adam (as).

Inilah ciri-ciri “dalaman” seorang mursyid yang sahih,seorang Mursyid yang Hakiki. Dari segi luaran, dia mesti berpakaian lengkap ahli Sufi (sunnah Nabi yang lengkap) dan dari segi dalaman, dia harus memiliki tiga ciri-ciri di atas. Sekiranya ternyata guru anda tidak berpenampilan seperti demikian, maka ikutilah dia bila anda merasakan kepuasan bersamanya sebab hal inipun merupakan ciri-ciri Mursyid yang Hakiki, apa yang kekurangan akan dibekalkan. Seandainya anda tidak merasakan hal ini juga, maka carilah mursyid yang lain. Pasti anda akan jumpa.

Allah amat penyayang pada hambaNya. Dengan cara anda memintaNya, tetapi apabila anda tidak meminta, maka Allah pun tidak akan memberikannya . Apabila anda mencari, Allah akan beri. Maka carilah dengan seikhlasnya, pasti akan Allah berikan seorang mursyid kepada anda.
*Petikan dari www.carigold.com

Friday, July 2, 2010

PAMERAN KERJAYA










Pada 29hb lalu, Kelab Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKM telah menganjurkan Hari Kerjaya. Pelbagai pihak IPTA dan IPTS telah mengambil bahagian dalam pameran tersebut antaranya Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, IKBN dan lain-lain. Majlis perasmian disempurnakan oleh PK HEM, En. Abd. Rani bin Saari. Pameran sehari itu telah banyak memberi info kepada murid-murid mengenai peluang untuk melanjutkan pelajaran. Unit Kokurikulum mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kelab B&K dan setinggi penghargaan terima kasih kepada semua IPTA dan IPTS yang terlibat.