Monday, August 9, 2010

AHLAN WA SAHLAN RAMADAN MUBARAK


Alhamdulillah Ramadan datang kembali..ahlan Ramadan Mubarak…bulan yang penuh dengan keberkatan. Di zaman Rasulullah , para sahabat sangat gembira dengan kedatangan bulan ramadan kerana inilah masanya untuk mereka memperbanyakkan amal ibadah. Inilah bulan di mana segala doa hamba akan sampai terus kepada Tuhannya. Inilah bulan yang sangat Allah sukai dan Dia melimpahkan segala rahmat dan kurniaan-Nya kepada segenap makhluk di atas muka bumi ini. Dan bila berakhirnya Ramadan, mereka akan berasa sangat berat hati untuk meninggalkannya malah ada yang menyambut hari raya dengan tangisan kerana perginya bulan yang mulia ini. Ramadan memberikan ruang perancangan yang luas untuk kita menetapkan matlamat, memperincikan amal ibadah yang ingin kita laksanakan agar ibadah dan tugasan harian yang dilakukan dalam bulan ini lebih tersusun dan konsisten dalam pelaksanaannya. Bukan sekadar melaksanakannya tanpa perancangan. Ramadan yang diberkati ini hanyalah sekali sahaja dalam setahun. Maka sudah tentu pengisiannya perlu dihayati dari pelbagai aspek supaya ibadah puasa, solat terawih, membaca al-Quran akan lebih baik dan sempurna.
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat.
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

No comments: