Sunday, May 10, 2009

MENGENANG JASA IBU -SEMPENA HARI IBU

Dalam islam kita dituntut untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Redha Allah terletak di bawah redha ibu bapa. Tuntutan ini merupakan satu kewajipan yang perlu dilakukan dan barangsiapa yang melanggar perintah Allah tersebut, ia telah melakukan dosa besar dan telah dimurkai allah s.w.t.Sikap seseorang anak perlulah bersopan dan berlemah-lembut kepada kedua ibu bapanya, sebagai tanda kasih sayang kita kepada kedua ibu bapa.Kita sewajarnya memikir dan membayangkan betapa perit dan susah payahnya ibu bapa kita mendidik dan membesarkan kita dari tapak kaki sebesar tapak tangan sehinggalah kita boleh berdikari seperti sekarang ini.

"Dan tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata,dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkat kepada mereka(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "AH", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)".

Sebagai rasa kasih sayang dan tanggungjawab kita kepada kedua ibu bapa,marilah sama-sama kita berbakti kepada mereka, mengingati dan mentaati segala kehendak mereka,selagi ia tidak membawa kepada unsur-unsur maksiat,sekiranya ibu bapa kita masih hidup.Seandainya mereka telah meninggal dunia, doakan semoga Allah merahmati dan mengampuni dosa mereka dan agar roh mereka bersama golongan Aulia’ dan Solihin.

Ibu bapa juga sewajarnya sentiasa mendoakan anak-anak mereka dengan doa dan pengharapan yang baik, kerana sesungguhnya doa para ibu tiada penghijabnya.Mudah-mudahan kehidupan kita akan saling bertanggungjawab dan berperanan sebagaimana yang telah diaturkan oleh syariat islam.
"Dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.Sedang tempoh mengandung beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.Setelah ia besar sampai keperingkat umur empat puluh tahun berdoalah ia dengan berkata :"Wahai tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang engkau redhai, dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk kedalam jiwa zuriat keturunan. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al-Ahqaaf ayat 15)

No comments: