Monday, November 26, 2012

Innalillahiwainnailaihirajiun.. Dari Allah Kita Datang, Kepada Allah Jua Kita Kembali...

Balasungkawa: AlFatihah

 En. Ramly bin Mohd Ali 
(26 Mac 1960 - 16 November 2012)

Pada hening subuh lebih kurang 5.30 pg hari jumaat 16/11/2012, warga SMK Mengkuang khasnya, warga pendidik Pulau Pinang dan staf serta pelajar UUM amnya dikejutkan dengan berita kembalinya En. Ramly bin Mohd Ali ke rahmatullah..Allahyarham merupakan pengetua pertama SMK Mengkuang bermula pada tahun 2001 sehingga 2002..walaupun masa beliau di SMKM singkat namun kehadirannya di SMKM amat dirasai kerana beliau amat disenangi oleh guru,staf dan pelajar...Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dimasukkan ke dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh.. AlFatihah.

Wednesday, August 8, 2012

Jom Sama-Sama Kita Laksanakan Amalan-amalan Nabi SAW di 10 Malam Terakhir Ramadan

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
 
Dari Abu Hurairah dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

Pertama : Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

Kedua : Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud : “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi mereka bersepakat bahawa Rasulullah SAW melebihkan ibadahnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadah yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud : “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting sehingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat-ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah SWT memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat-ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah SWT daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasullah SAW  dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud :”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

Ketiga : Memperbanyak doa.

Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadah. Doa juga kunci daripada semua ibadah. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Aishah. Doanya berbunyi : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: "Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa 1. orang meminum arak, 2. anak yang derhaka kepada ibu bapa, 3. orang yang selalu bertengkar dan 4. mereka yang memutuskan silaturahim.”

Pentingnya doa pada malam al-Qadar sehingga Syofyan al-Sauri berkata: “Doa lebih aku sukai pada malam itu daripada solat.”

Semoga kita termasuk orang yang mendapat keberkatan malam itu hingga selepas Ramadan, seakan-akan anak yang baru lahir dari rahim ibunya, bersih daripada segala dosa.

Sumber : Abubasyer :blog cemerlang

Tuesday, July 31, 2012

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT BERTUGAS

Selamat datang dan selamat bertugas kepada Tn. Pengetua ,Tn. Hj. Masri bin Abdullah ke SMK Mengkuang.

Saturday, June 30, 2012

KEJOHANAN SUKAN SMK MENGKUANG (SUKME) KALI KE 11









Pada 30 Jun 2012, SMK Mengkuang telah mengadakan Kejohanan Sukan dengan jayanya. Pada tahun ini Rumah Kuning sekali lagi mengekalkan kejuaraan,tempat kedua Rumah Hijau, Tempat Ketiga Rumah Merah dan Tempat Keempat Rumah Biru,manakala hiasan rumah dan perbarisan dimenenagi oleh Rumah Merah. Unit Kokurikulum mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua warga SMKM dan semua pihak yang terlibat menjayakan Kejohanan Sukan kali ini.

Friday, June 15, 2012

JOM MENGHAYATI PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ
 Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran. Firman Allah Taala bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Israa: ayat 1). Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran. Firman Allah Taala bermaksud: Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar. (Surah an-Najm: ayat 13-18). Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ
 Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:
1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
 2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tidak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
 3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
 8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
14. Wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
15. Wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.
16. Wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.